Tag Archives: Makam Hang Jebat

Jom Ke Melaka- Warisan Tinggalan di Melaka (Perigi & Makam)

Perigi Hang Li Poh

1

Perigi Hang Li Poh atau juga dikenali sebagai Perigi Raja terletak di lereng Bukit China bersebelahan Sam Po Kong Temple. Digali pada tahun 1459 di bawah arahan Sultan Mansur Shah dan diberi nama sempena isteri baginda, seorang puteri negara China, Puteri Hang Li Poh.

Pada tahun 1551, askar dari Johor telah meracun air perigi tersebut dan mengakibatkan 200 askar Portugis mati. Pada tahun 1606, askar Belanda pula meracun air perigi tersebut dan diikuti pada tahun 1628 dan 1629 oleh askar Acheh. Setelah Belanda berjaya menakhluki Melaka, mereka telah dirikan kota kecil lengkap dengan meriam di sekeliling perigi tersebut supaya air perigi itu tidak diracun lagi pada masa hadapan.

Perigi ini tidak pernah kering dan telah menjadi punca air semasa musim kemarau.

Sedikit info mengenai Bukit Cina, semasa Puteri Hang Li Po datang ke Melaka, beliau telah membawa 500 dayang bersama. Oleh itu, Sultan menghadiahkan Bukit Cina kepada sang puteri dan berjanji tanah itu akan menjadi hak milik kekal mereka. Kini, Bukit Cina masih hak milik komuniti Cina tetapi telah menjadi kawasan perkuburan mereka. Kawasan perkuburan ini dianggap ‘auspicious’ dan kawasan perkuburan terbesar selain di negara  China.

 

Perigi Hang Tuah

2

Hang Tuah ialah seorang pahlawan di Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 pada zaman pemeritahan Sultan Mansur Shah. Beliau diberi gelaran Laksamana kerana keberanian, kegagahan dan kesetiaannya pada Sultan.

Perigi Hang Tuah terletak di Kampung Duyong, kampung kelahiran beliau. Dikatakan, roh Hang Tuah menjelma di perigi ini sebagai buaya putih. Namun begitu, hanya orang yang warak dan berhati suci sahaja dapat melihat jelmaan tersebut.

Pada asalnya perigi ini kecil tetapi lama kelamaan semakin besar dan dalam. Air perigi ini tidak pernah kering dan sangat jernih. Airnya juga dikatakan dapat menyembuhkan penyakit. 

 

Makam Hang Tuah

3

Makam Hang Tuah terletak di Tanjung Kling. Mengikut pengisahan Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang, Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Kling dengan penuh adat istiadat.

Namun begitu, ramai masih percaya makam tersebut bukanlah makam Hang Tuah. Hang Tuah dipercayai hilang begitu sahaja tanpa kubur. Ada juga yang percaya Hang Tuah meninggal di Perak. Terkini, makam Hang Tuah yang sebenar dikatakan di Palembang berdasarkan bukti-bukti baru yang muncul tetapi masih tiada kajian dijalankan. 

 

Makam Hang Jebat

4

Makam Hang Jebat terletak di Kampung Kuli, Jalan Gelanggang di bandar Melaka.

Hang Jebat ialah salah seorang dari lima pahlawan terkenal selain Hang Tuah. Apabila sahabat baik beliau, Hang Tuah, dihukum bunuh oleh Sultan Mansor Shah tanpa usul periksa dan bukti, beliau telah mengamuk dan bertindak mederhaka kepada Sultan. Sultan Mansor lari ke Kelang. Apabila Sultan tahu yang Hang Tuah masih hidup disegera perintah Hang Tuah menghapuskan Hang Jebat. Maka berlakulah pertempuran selama 3 hari 3 malam dan akhinya Hang Jebat telah tewas. 

Makam Hang Jebat ini juga dipercayai hanyalah makam peringatan yang dibina oleh Sultan. Di mana makam sebenar tidak diketahui malah berlaku percanggahan dengan penulisan Sejarah Melayu yang tertulis ”Maka bangkai Hang Jebat pun di tarik orang lah ke laut, maka segala anak bini nya semua habis di umbut (di halau) datang kepada kaki tiang dan tanah bekas rumah habis di gali di buang ke laut “. Ada juga yang percaya Mayat Hang Jebat telah dibawa lari oleh Dang Wangi ke Pulau Besar, kampung Dang Wangi, dan di kebumikan di sana.

 

Makam Hang Kasturi

5

Makam Hang Kasturi terletak di antara deretan-deretan bangunan kedai di Jonker Walk (Persiaran Jonker) atau ada yang memanggilnya Jalan Hang Jebat.

Hang Kasturi juga adalah antara 5 pahlawan terkenal di Zaman Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 selain Hang Tuah dan Hang Jebat. 

Menurut penulisan Sejarah melayu, sebenarnya Hang Kasturi yang telah mengamuk dan memberontak bukanlah Hang Hebat seperti yang diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah. 

 

Makam Tun Teja

6

Tun Teja atau nama penuhnya Tun Teja Ratna Benggala ialah anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah. Tun Teja ialah seorang jelitawan yang terlalu elok rupa parasnya dan menjadi sebutan. Beliau telah pun ditunangkan dengan Sultan Pahang. Khabar kecantikan Tun Teja akhirnya sampai ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang telah kematian isterinya yang pertama, Tun Kecil. Baginda menghantar utusan peminangan ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja berikutan pertunangan Tun Teja dengan Sultan Pahang.

Terdapat dua versi bagaimana Tun Teja berjaya dibawa ke Melaka. Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah telah menggunakan ubat jampi yang diberikan melalui Dang Ratna, pengasuh Tun Teja dan juga ibu angkat Hang Tuah. Tun Teja jatuh hati kepada Hang Tuah dan bersetuju melarikan diri, Setibanya Tun Teja di Melaka, beliau di jampi supaya dapat melupakan Hang Tuah dan dipersembahkan kepada Sultan untuk dikahwini,

Versi kedua, menurut Sejarah Melayu, Hang Nadim telah berjaya memujuk Tun Teja dengan menceritakan tentang kebaikan rupa paras Sultan Mahmud dan kegagahan kerajaan Melaka. Tun Teja termakan pujuk dan bersetuju untuk mengikut Hang Nadim pulang ke Melaka.

Pada tahun 1511, Portugis menyerang Melaka. Apabila serangan bertambah hebat, Sultan Mahmud berundur ke Istana hinggapnya iaitu Istana Kayu Ara di Lembah Bertam (Bertam Hulu). Ketika di Istana tersebut, Tun Teja telah gering. Berita Portugis bakal menyerang Bertam sampai kepada sultan lalu Sultan diminta mengundurkan diri ke Bentayan (Muar).

Tun Teja semakin gering dan Sultan Mahmud memerintahkan orangnya menyediakan tandu untuk Tun Teja. Dari Bertam sultan Mahmud dan pengikut-pengikutnya telah bergerak ke Batu Hampar. Dari Batu hampar mereka dipercayai, berundur memalui Bukit Katil, Duyung, Teluk Mas, Serkam, Umbai dan ke Merlimau. 

Sultan Mahmud dan pengikutnya berhenti singgah di Pengkalan Samak (Merlimau) sebelum meneruskan perjalanannya ke Muar, Di sinilah Tun Teja mengakhiri hidupnya dan dimakamkan. 

 

Makam Dol Said

7

Makam Dol Said terletak di kawasan Tanah Perkuburan Taboh Naning di belakang Masjid Dol Said. 

Dol Said atau nama penuhnya Dato’ Abdul Said ialah Penghulu Naning yang ke-9 pada tahun 1802. Beliau membantah sekerasnya tindakan British yang mengenakan cukai kepada daerah pemerintahannya. Maka pada tahun 1831, berlakulah  Perang Naning kerana konflik tersebut.

Dalam serangan pertama, Dol Said telah meminta bantuan daripada Perikatan Melayu yang lain, termasuk Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol dan Muar dan akhirnya beliau dapat mengalahkan pihak British.

Dalam serangan kedua, Naning tidak berjaya mendapat bantuan ketenteraan seperti serangan pertama. Yang lebih memburukkan lagi keadaan, Yam Tuan Muda Raja Ali di Rembau telah menghantar 600 orang membantu pihak British bagi mengukuhkan tentera mereka.

Akhirnya, Dol Said terpaksa berundur ke Sri Menanti dan seterusnya menyerah kalah. Dengan berakhirnya perang tersebut, Naning dan Melaka digabungkan dan Dol Said diberikan tempat tinggal di Melaka. 

 

Tanah Perkuburan Belanda

kuburbelanda2_280

Tanah Perkuburan Belanda terletak di Bandar Hilir bersebelahan Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka. Kubur ini digunakan pada akhir suku kurun ke-17. Dalam kawasan ini terdapat 5 kubur Belanda dan 33 kubur British. Tanah perkuburan ini digunakan pada dua peringkat iaitu di antara 1670-1682 dan 1818-1838. Di antara kubur yang menjadi tarikan ialah kubur yang mempunyai menara yang tinggi yang mana merupakan kubur dua orang pegawai yang mati semasa Perang Naning.

 

 

Kesimpulan, memang banyak sangat tempat menarik untuk dilawati di  Melaka. Kalau nak melawat dan menikmati semua tempat di atas dalam masa sehari, mimpilah…..

So marilah melawat Melaka dan pilihlah Umi Homestay- Bukit Katil sebagai lokasi penginapan anda.

Alamat : No. 4, Jalan Bayan 22, 75450 Taman Bukit Katil, Melaka.
—- 11 km / 15 min dari Tol Ayer Keroh

Hubungi: ABD MALEK BIN JAAFAR 019-6624357 (call/sms/wassap)

Leave a comment

Filed under Jom ke Melaka Kita